Thursday, 30 May 2013

Banyak Cakap

Tadi time aku tengah aktif membuang masa di Facebook, aku terjumpa satu komen, di satu gambar yang aku rasa tak perlu korang semua tahu, ye dak? Bila terbaca komen dari seorang mamat ni, tiba-tiba hati ni terdetik kata-kata Dr. M, "melayu mudah lupa". Mesti semua nak tahu apa komen tu kan? Haruslah~



Kata orang tua...

Kamu orang muda, tak pandai bersyukur. Kamu lahir dalam kesenangan. Nikmat dari titik peluh kami dahulu. 

Kami melawan penjajah untuk merdeka. Berperang dengan Jepun untuk pertahan tanah air. Berperang dengan Cina pada 13 Mei untuk pertahankan Raja Melayu.
Pertahankan hak bumiputera. Sanggupkah kamu serahkan negara ini kepada pendatang Cina?

Anak muda jawap...
Kalian orang tua sudah selesa. Kalian sudah ada sebidang tanah. Kalian sudah ada sebuah rumah. Kalian sudah ada kerja, gaji dan pencen. Dahulu, kalian mengaji percuma.
Kami, belum habis mengaji sudah berhutang. Habis belajar, belum tentu ada kerja. Kalau bekerja, belum tentu boleh miliki kereta, rumah, dan tanah. Mahu makan sekali sehari pun susah.
Ya, benar. Jepun sudah pulang. Inggeris sudah berundur. Namun kami dijajah oleh bangsa sendiri. Melayu korup dan khianat. Membiar bangsa sendiri hidup melarat. 
Dahulu, meski dijajah, kamu masih boleh memiliki rumah sendiri. Kini, meski merdeka, kami hanya mampu menyewa.
Dahulu, demi mempertahankan tanah air, kita menghalau Joseph, Donald, Mizuno, Kozumi. Kini kita hanya berdiam diri ketika tanah kita dirampas oleh Mahmud, Muhammad dan Abdullah.
Kamu pinta kami berwaspada dengan Cina dan India? Tapi kamu import Indon, Myanmar dan Bangla? Kamu minta kami waspada dengan Cina, tapi mereka lebih prihatin tentang nasib kami berbanding Melayu, bangsa sendiri. Kamu minta kami berwaspada dengan Cina, tapi Melayu itu yang merompak tanah kita. Kamu pinta kami waspada dengan Cina, tapi Melayu itu yang berdusta.
Saya masih ingat. Ketika anak Melayu bawah umur dirogol oleh pembesar Melayu, Cina yang dikutuk hari ini bangkit membela. Beliau (LGE) akhirnya dihukum penjara. 
Kamu kata, Cina mahu hancurkan kita. Tapi yang dibina Melayu, roboh dan runtuh belaka. Kamu kata, Cina mahu kita binasa, tapi Melayulah yang merompak harta negara, merampas Royalti dari negeri yang mempunyai penduduk Melayu paling ramai.
Kamu kata, DAP benci Islam, tapi peruntukkan Islam dilipatganda berjuta-juta. Kamu dakwa UMNO bela Islam, tapi roboh masjid, tutup sekolah agama, sekat dakwah, batal biasiswa agama.
Kamu kata DAP rasis, ultra cina dan benci Islam, tapi Zairil Khir itu Melayu, Islam dan anak pemimpin UMNO. Lalu kami tanya, mana calon Cina dari UMNO? Mana calon Melayu dari MCA?
Kamu kata, Cina itu musuh kita. Saya tanya, jiran rumah kita siapa? Bermusuh dengan jiran bukan ajaran agama.
Kamu kata, mesti bantu Melayu kerana Cina semuanya kaya. Kami tanya, Ah Chong, penjaja sayur yang mengayuh basikal itu berbangsa apa?
Kamu kata, berpakat dengan Cina DAP haram. Kami tanya, MCA dan Chua Soi Lek itu Melayu?
Bila kami hormati Cina, kamu kata kami lupa asal usul. Yang kami ingat, kami berasal dari negara Malaysia yang berbilang bangsa, Cina, India Kadazan, Murut dan sebagainya.
Kamu kata, hanya BN yang boleh memerintah. Kami kata, Penang lebih cemerlang di bawah DAP, Selangor lebih maju di bawah PKR. Malaysia apa yang kamu gambarkan kepada kami?
Kami inginkan Malaysia yang lebih damai. Warganya aman tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kami tidak perlu memaki dan mengutuk Cina untuk membela Melayu. Kami anak Malaysia!

Dan aku, selaku wakil anak muda yang masih waras menjawab... 

Kalian anak muda haloba menunding jari kepada orang tua konon salah mereka Malaysia menjadi kejam. Bersyukurlah, tanpa mereka yang berjuang, jangankan rumah sendiri, menyewa pun belum tentu diberi peluang. Kalian kata mereka mengaji percuma, tapi cuba kalian ingat semula, takat mana mereka mengaji? Mereka mengaji cukup sampai mereka pandai baca tulis, itupun terpaksa menebal muka berkhidmat kepada penjajah. Mereka ada gaji, pencen. Tapi cuba kalian hintung berapa sen pencen mereka? Gaji kalian mula bekerja sahaja sudah dua kali ganda pencen mereka. 

Ya, mereka ada sebidang tanah, tapi kalau bukan kerana pejuang tanah air, tanah ini pun kita tidak merasa hendak memijak. Kalian kata kalian berhutang sebelum habis belajar. Cuba kalian fikir, mereka merempat di tanah air sendiri. Jangankan berhutang, hidup pun belum tentu diberi peluang. Kalian kata, kalian susah di negara sendiri, tidak berpeluang memiliki harta benda kerana kesempitan wang. Jadi kenapa mahu salahkan golongan tua? Kalian yang meilih bukan? Tidak mahu kerja yang mengeluarkan peluh. Kalau boleh setiap goyangan kaki yang kalian lakukan, ada duit yang akan masuk memenuhkan baki akaun.

Kalian kata kalian dijajah bangsa sendiri. Terus, apa tindakan kalian mahu banteras khianat, korup ini? Terus menerus meletakkan tanggungjawab kepada pihak berkuasa. Lalu kalian lupa, mereka dan kalian juga adalah sebangsa? Kalian kata, bangsa kalian biarkan kalian melarat. Terus, apa kalian sudah tidak larat, bangun untuk menggugat?

Mereka tidak suruh kalian membenci lantas bermusuh dengan Cina, tapi cukuplah sekadar kalian berwaspada. Cina tidak jahat, melayu juga tidak bodoh. Tapi kita semua manusia. Ya, kita dari negara berbilang bangsa, yang asas penubuhannya adalah kesepakatan sebulat suara. Tapi kalian juga lupa, siapa dahulu yang bermati-mati menyangkal penubuhan Malaysia? Siapa yang menuntut sesuatu yang bukan milik mereka? Lalu kalian sesuka hati sesedap bicara mahu memberikan kepada yang bukan haknya.

Apa kalian mahu, terus dijajah asal dapat memiliki rumah? Apa kalian mahu, terus dibelenggu asal dapat memiliki serba baru?

Kalian kata semua kaum harus bersatu. Lalu siapa yang paling handal melagakan-lagakan Melayu sendiri dari terus bersatu?

Ya, aku juga mahukan Malaysia yang lebih damai. Yang warganya aman tanpa mengira bangsa dan keturunan. Aku juga tidak pernah bersetuju kita semua membela Melayu dengan melakukan khianat kepada bangsa lain. 

Cuma satu aku ingatkan. 

"Bangunlah Melayu, jangan terus layu."

No comments:

Post a Comment