Tuesday, 25 June 2013

Perubahan

Dulu Farid seorang yang baik, peramah. Tapi, itu dulu. Lama dulu. Sekarang Farid bukan Farid yang dulu lagi. Dia dah berubah. Besar perubahannya. Terkesan di hati teman-teman, jelas lagi di mata yang tersayang.

Dulu Farid seorang yang baik. Dia suka memberi, jarang-jarang menerima. Dia bahagia bila dapat menolong teman-teman mahupun keluarga. Dia ikhlas. Tak pernah dia mengungkit atau menyebut-nyebut pemberiannya. Walau tak pernah diminta, dia tetap meghulur. 

Tapi itu dulu. Kini Farid berubah. Dia jarang berkongsi. Dia menutup mata bila ada yang meminta. Dia memekakkan telinga bila ada yang bertanya. Dia menjauh bila ada yang mendekat. Dia sorokkan bila ada kesusahan.

Dulu Farid seorang yang baik. Tutur katanya lembut. Lagak gayanya santun. Percakapannya beralas. Gurau sendanya bersahaja. Dia mudah menarik hati manusia lainnya. 

Tapi itu dulu. Kini Farid berubah. Suaranya sering ditinggikan. Santunnya hilang tak nampak rupa. Gurau sendanya sinis. Menyindir menjadi bahasanya. Adab hilang diganti biadab. Cemuhan dan cacian menjadi halwa telinga. 

Tapi tak ramai yang tahu, kenapa Farid berubah. Apa yang mereka tahu, Farid berubah. Noktah. Mudah manusia menilai berdasarkan apa yang terlihat. Hati Farid tak pernah diambil kira. Siapa kisah akan hati Farid yang luka lara. Yang mereka tahu, Farid bukan Farid yang dulu lagi. Ah, manusia.

Kesakitan yang Farid rasakan perit. Lukanya dalam. Parutnya kekal. Jelas. 

Tapi manusia lainnya tak kisah. Kata mereka, Farid tak cekal. Farid kurang kesabaran. Farid lemah. Goyah. Tak tetap pendiriannya. Ah, kalaulah mereka tahu penderitaan Farid. Kalaulah mereka tahu kesabaran yang Farid simpankan. Kalau mereka tahu... kalaulah..

Akhirnya, kisah Farid semakin hilang. Kebaikannya dulu langsung dilupakan, digantikan dengan cerita-cerita tidak enak tentang Farid yang sudah berubah. Tiada siapa yang mampu menghulur membantu Farid. Mereka lupa akan setiap apa yang mereka terima dulu. Kejam.




"Never underestimate the pain of a person. Because in all honesty, everyone hurts. Some people just hide it better than others." 
"People change for two reasons:  Either they learned a lot, or they've been hurt too much."


Friday, 21 June 2013

Ruang Putih

Ben pandang sekeliling dia. Putih. Putih, tak pernah merah, biru, kelabu mahupun hitam. Jauh sekali purple atau pink. Hanya putih. Tiada sebarang hiasan, mahupun wallpaper yang menghiasi ruang putih tersebut. 

Dan sepanjang Ben berada di ruang tersebut, dia tidak pernah lihat sebarang kotoran mahupun titik. Tiada apa-apa. Ben tak buta. Dia masih ingat rupa pokok, itik, mahupun vacuum cleaner. Dia masih ingat lagi bunyi air terjun, bunyi enjin kereta buruk Pakcik Phil mahupun bunyi 'plop' apabila taik jatuh ke dalam mangkuk jamban. Ben juga masih ingat bau rumput segar, bau taik cicak mahupun bau masakan emak. Emak.

Ya. Sudah lama rasanya Ben tidak menatap wajah emak yang tenang. Dia masih ingat senyuman emak yang manis. Pernah terlintas di fikiran Ben yang senyuman emak betul-betul manis sebab ayah suka hisap senyuman emak. Dan emak juga suka hisap senyuman ayah. Mungkin senyuman ayah pun manis jugak. Apa yang pasti, senyuman Katrina tak manis sebab masa dia hisap senyuman Katrina, dia rasa pahit, kelam dan basah. Entah. 

Ben tak ingat bila dia mula berada di sini ataupun sudah berapa lama dia berada di sini. Di sini tiada jam, tiada siang atau malam, yang ada hanya putih. Dan selama Ben berada di sini, dia tidak pernah merasa takut. Mungkin sebab tempat ini terlalu putih, jadi tiada apa-apa untuk ditakutkan. Dan Ben, tidak pernah meninggalkan tempat duduknya. 

Ben tidak pernah bangun atau melakukan sebarang pergerakan. Dan hari ini, Ben rasa dia nak berjalan-jalan. Jadi untuk pertama kalinya sepanjang berada di ruang putih ini, dia bangun dari tempat duduknya. Tapi dia tidak tahu ke mana dia akan pergi. Jadi dia rasa nak duduk balik, tapi kerusi kekacangnya tiba-tiba hilang. Jadi dia terpaksa berjalan. Berjalan dan berjalan.

Sampai di satu tempat yang masih putih, Ben ternampak seorang budak. Ben mendekati budak itu.

"Hei,'' sapa Ben. Dan buat kesekian kalinya, budak itu berpaling.
''Hei.''
''Nama kamu siapa? Macam mana kamu boleh berada di sini?''
''Tomas. Saya tidak tahu tempat ini.''
''Saya Ben. Jom ikut saya. Kita jalan-jalan.''

Ben dan Tomas berjalan berdua. Dan untuk kesekian kalinya selama berada di tempat ini, Ben rasa seronok sebab ada teman. Dia tidak lagi bosan. Sampai di satu tempat, Ben dan Tomas jumpa seorang lagi budak. Kali ini budak perempuan.

''Saya Ben dan ini Tomas. Saya tahu kamu juga tak tahu macam mana kamu boleh berada di sini. Jadi jom ikut kami jalan-jalan.''
''Saya Emma. Baiklah, saya ikut kamu.''

Mereka berjalan-jalan lagi. Kali ini mereka mula berbual. Banyak yang mereka bualkan. Semuanya berlatarkan kehidupan mereka dahulu. Dan sepanjang perjalanan mereka, mereka jumpa ramai budak. Ada Nate, Dean, Maria, Emily, Grace, Kyle, Maggie, dan ramai lagi. Mereka semua berjalan bersama-sama. 

Mereka berhenti di sebuah pokok epal dan duduk di bawahnya. Ada banyak buah epal yang gugur. Mereka makan buah-buah epal tersebut. Dan disebabkan terlalu asyik berbual, mereka terlupa akan pokok epal yang entah datang dari mana. Semakin lama semakin ramai budak yang menyertai mereka dan setiap kali ada budak baru, kawasan rumput hijau menjadi semakin luas dan pokok epal juga semakin bertambah. Tapi mereka semakin asyik berbual dan mereka semakin lupa akan ruang yang mereka diami yang sudah tidak lagi putih.


Thursday, 20 June 2013

Jasa Kudin

Kudin. Nama penuh dia Takiuddin bin Aripin. Nama tipikal Melayu. Dan Kudin, dilahirkan sebagai seorang tipikal Melayu, menjalani kehidupan seorang Melayu yang langsung tiada beza daripada anak-anak Melayu yang dibesarkan di kampung. Masih tipikal. Kudin anak sulung daripada 4 beradik. Sebagai anak lelaki sulung, dia dihumban seribu satu masalah keluarga di atas bahunya untuk dipikul walaupun kudrat Kudin tidaklah seberapa selepas pemergian ayah tercinta beberapa tahun lalu. 

Dan selaku anak sulung lelaki dalam keluarga, Kudin membantu ibu membesarkan adik-adiknya. Kudin berhenti sekolah sewaktu di Tingkatan 3 selepas ayah meninggal. Dia mengambil alih tempat ayah sebagai ketua keluarga dan melakukan berbagai-bagai kerja untuk mencari sesuap nasi untuk keluarga. Sebagai ketua keluarga, Kudin bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga. Kudin abang dan anak yang baik. Dia melayan setiap kerenah adik-adiknya dengan cara yang paling lemah lembut.

Suatu hari, emak jatuh sakit dan tidak lagi mampu berjaga malam untuk menyediakan kuih muih untuk dihantar ke kedai Pak Abu. Kudin terpaksa membuat banyak kerja dalam sehari untuk menampung harga ubat-ubatan emak. Kudin semakin sibuk. Jarang-jarang dia berada di rumah, makan pun kalau-kalau berkesempatan. Tetapi keadaan tidak bertambah baik. Adik-adik Kudin memerlukan duit untuk membeli kelengkapan sekolah. Tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula.

Akhirnya, Kudin terpaksa memecahkan tabung ayamnya. Duit yang dikumpul setelah sekian lama terpaksa digunakan untuk menampung perbelanjaan sekolah adik-adik. Segala kelengkapan dibeli ala kadar. Mana yang masih boleh pakai, dipakai semula. Segala-galanya Kudin buat dengan kudratnya sendiri.

*Dua puluh tahun kemudian*

Kudin kini bergelar orang kaya. Dia mempunyai kedai runcit sendiri, mampu berkereta jenama negara dan berumah batu. Dia sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak. Kedua-duanya dibesarkan dengan cara kampung tetapi tidak sesusah hidup Kudin dulu.

Emak dihantar ke pakar-pakar perubatan dan kesihatan emak makin baik. Adik-adik pula semuanya berkelulusan IPT terkemuka negara. Kudin bangga. Dia berdoa dan berterima kasih kepada Tuhan. 

Hari itu hari raya, dan semua ahli keluarga berkumpul di rumah Kudin. Ada yang sudah berkeluarga, ada yang awek datang beraya. Mereka berterima kasih kepada Kudin kerana jasanya. 


*

Faris mengeluh. Cerita macam karangan budak UPSR. Dalam hatinya mengutuk drama 'Jasa Kudin' yang disiarkan pada slot Cerekarama. Dia menutup TV dan mencapai kunci motor. Perlahan-lahan pintu rumah ditutup. Enjin motor dihidupkan, dan selepas dia memastikan line clear, dia memecut ke kedai kopi Pak Usin.


Sembang Hantu

Petang tadi gua layan satu cerita mat saleh ni, tajuk dia 'Sixth Sense'. Ala, cite pasal budak yang boleh nampak hantu tu. Gua kagum, kagum tahap meninggal masa tengok ending dia. Dan walaupun ni kali ke entah berapa gua layan certa tu, gua akui yang gua still takut kalau hantu-hantu tu muncul. Kehkehkeh. 


Ha! Ni lah hero cerita tu. Cole Sear (Haley Joel Osment). Gua sebenarnya memang kagum dengan budak ni sebab dia punya feel berlakon tu memang hebat. Rasanya kalau Bad Latif pun boleh kalah dengan tahap ke'genius'an budak ni berlakon. Disebabkan gua sangat kagum dengan budak ni, gua layan semua cerita dia. Gua paling takleh tahan kalau dia nangis. Pergh! Gua pun tak pasal-pasal dah berhingus tanpa gua sedari. Hehehe.

Post ni sebenarnya bukan nak cerita pasal budak ni mahupun anugerah prodigy beliau, gua sebenarnya nak cerita pasal perfileman di negara kita ni. 

Masa gua tengok cerita ni, macam-macam perasaan menghambat jiwa rebel gua. Kadang-kadang gua rasa gua tengah leleh, kadang-kadang gua rasa gua tengah gelak, kadang-kadang gua rasa gua tengah marah. Tapi sumpah gua cakap, gua tak sedar apa pun masa gua tengah layan perasaan gua. Gua rasa gua dah kena pukau oleh kehebatan budak ni. Hehehe.

Nampak tak kat situ permainan filem mat saleh ni? Tak semestinya kalau bunyi cerita tu cerita hantu, kena berselimut tutup mata setiap masa. Kadang-kadang kena main jugak feeling audiens, baru kreatif. 

Filem ni ber'genre' seram. Dan memang kena dengan genre tu, gua rasa memang seram masa tengok cerita ni. Dan walaupun seram, tapi gua takdela tahap berselimut tutup mata bagai. Gua steady macam biasa je la. Dan gua tak perlu diolok-olok dengan hantu pocong atau awek tengah mengengsot, gua tetap seram. Nampak tak kualiti cerita ni sebenarnya? Tak macam di Malaysia yang kalau dengar je genre seram, kena ada hantu terlompat-lompat, tergelak-gelak, terbang melayang bagai. Tak perlu! 

Ada satu filem seram Malaysia yang gua kagum, 'Sembunyi: Amukan Azazil'. Cerita ni pasal bunian-manusia. Walaupun cerita ni lain sikit daripada cerita yang lainnya, tapi masih terikat dengan definisi 'makhluk halus' versi Melayu. Muka buruk, misteri dan hantu-hantunya yang suka main sorok-sorok. Dan satu lagi yang gua paling menyampah dengan segala cerita Melayu, adalah kemestian 'happy ending'nya, walaupun tak semua tapi majoriti. Ni paling gua tak gemar dengan rakyat Malaysia yang suka berangan. Sedarlah yang takkan semuanya indah di akhirnya. Bukak mata oii!

Gua sarankan pengarah-pengarah mahupun siapa-siapa sahaja yang masih berminat untuk menyelamatkan industri perfileman negara kita untuk tampil lebih kreatif. Bukak mata tengok sekeliling. Misteri ada kat mana-mana, tapi tak perlu terikat dengan hantu semata-mata. Contohnya, Segi Tiga Bermuda. Contoh paling mudah tahap tadika. Gua akan terus menyokong industri perfileman asalkan kita lebih terbuka untuk menerima sesuatu yang baru. Dan tak perlu mengolok-olokkan penonton konon dengan awek merangkak dekat siling dan seumpamanya. 


Wednesday, 19 June 2013

Gua dulu, kini dan selamanya.

Masa gua kecik-kecik dulu, gua kagum tengok abang-abang dan kakak-kakak yang dah besar. Gua kagum sebab banyak benda yang gua tak tahu, diorang tahu. Gua tak sabar nak jadi besar jugak sebab gua pun nak tahu jugak macam abang-abang dan kakak-kakak tu. Bolehlah nanti gua kerek dekat adik-adik pulak. Sumpah gua tak sabar.

Akhirnya setelah gua menunggu dalam masa yang agak lama, gua besar jugak. Gua hepi tak ingat dunia. Gua nerves, gua nak nangis. Gua agak macam tu lah rasanya masa Harry Potter mula-mula nak daftar kat Hogwarts. Tapi satu je masalah gua, bila gua makin bijak, gua rasa berat semacam. Apa yang berat? Tanggungjawab. Ya, makin gua bijak, makin gua sedar tentang persekitaran dan sekeliling gua, makin gua dah boleh terima kewujudan gua atas muka bumi ni, makin gua rasa gua terbeban. Terbeban dengan benda-benda yang selama ni tak pernah pun menyelinap masuk ke minda kanak-kanak gua. Semua benda yang gua buat, gua kena terima akibatnya. Padahal dulu, kalau gua tumpahkan air atas lantai, tak pernah pun gua rasa gua ada kesedaran nak lap air tu.

Gua tenung dalam-dalam. Gua fikir masak-masak. Gua menyesal. Gua menyesal jadi bijak. Gua menyesal mintak nak jadi besar cepat-cepat. Dek kerana terlalu fokus menunggu bila nak besar, gua sebenarnya dah sia-siakan zaman kanak-kanak gua dulu. Gua rasa menyesal tak main sungguh-sungguh. Menyesal tak selam air sungai sampai kecut satu badan. Menyesal tak main selut dalam sawah padi sampai kena gigit lintah. Menyesal tak terjun telaga buta kat hujung kampung. Macam-macam benda gua menyesal, sampai satu masa, gua kena jugak terima hakikat.

Jadi pesan gua kat budak-budak zaman sekarang, walaupun korang dah ada iPad, walaupun korang ada tablet, walapun korang ada gajet yang canggih-canggih. Gua tak heran. Gua bangga dengan Nokia BalingAnjing gua. Cuma gua rasa korang yang patut menyesal lebih dari apa yang gua sesalkan. Sebab korang tak dapat rasa udara nyaman kampung yang gua hirup dulu. Korang tak dapat rasa buah-buah yang segar dan fresh dari pokok, apatah lagi ulat buah tu. Korang tak dapat rasa bergayut dekat dahan pokok gaya Tarzan. Korang takkan tahu macam mana perasaan kagum gua masa gua tengok kapal terbang yang terbang rendah masa kecik-kecik dulu, perasaan gua masa main game ular kat telefon nokia, mahupun masa gua first time naik basikal roda tiga.

Korang rugi, sebab mata korang dibutakan dengan skrin gajet canggih korang, minda korang ditutup dengan apps yang korang mampu download dekat Android Market ataupun apa-apa market yang beroperasi secara maya. Jadi gua harap korang akan sedar yang korang sebenarnya bertuah. Tak payah la nak rebel sangat konon matang dari usia. Main dulu puas-puas.

Selamat ber'keanak-anakan' dari gua.


RISDA dan Elaun

Malam ni gua nak tido awal. Esok gua ada taklimat. Taklimat Generasi Ke-2 Risda. Nampak tak gua punya wawasan nak jadi petani moden tu?

Wawasan, wawasan jugak. Tapi gua sebenarnya ada agenda sendiri sebab gua nak ikot taklimat ni. Cari pengalaman? Kawan baru? Langsung tak rambo agenda korang ni. Sebenarnya, masa gua dapat surat jemputan ke taklimat ni dari bapak gua lagi, gua dah start menguap, genyeh-genyeh buang taik mata. Rebel tak gua? Tu tak pergi taklimat lagi dah menguap. Kalau dah masuk dalam dewan tu, gua rasa gua punya dengkur lagi kuat dari speaker box tu. Kahkahkah. 

Tapi dalam gua dok teliti surat agenda tu, tiba-tiba mata gua tertangkap satu ayat yang mampu membuatkan mata gua celik tiga hari tiga malam tanpa tidur yang secukupnya. Lagi celik dari student-student IPT yang telan macam-macam dan berjaga malam sebab nak final. 

'Elaun dan wang kenderaan disediakan.'

Syok tak ayat tu? Lagi syok dari Ayat-Ayat Cinta nyanyian Rossa mahupun mana-mana ayat yang best kat dunia ni. Cuma tak boleh lawan ayat Qur'an je. Insaf kejap.

Jadi gua akan tidur malam ni. Gua dah tanam satu azam dalam diri gua untuk gua bangun awal dan hadiri taklimat tu esok. Semuanya disebabkan ayat mandrem yang telah menguatkan keinginan gua untuk menceburi bidang pertanian moden.

Kui kui kui.

Tuesday, 18 June 2013

Don't Judge

He cursed a lot,
because his father cursed at him everyday.

She smiles,
because her Dad can walk again.

He's Emo,
because people misunderstood him, and they'll never listen every time he tried to explain.

He cried all the time,
because her mother had cancer and he needs to be strong in front of her.

She looked scared,
she scared that her father might know about her being pregnant.

He always with his books,
he's trying his best to prove to his family that he can be better than his brothers.

She always on the computer,
she tries to trace her long lost mother.

She's rich,
but her parents denied her rights to choose how to live her life.

She talked a lot,
because she heard enough and now she needs to be heard.

She wears make-up everyday,
because she had enough of boys calling him 'ugly'.

He jokes a lot,
he cries himself to sleep everynight.

She eats a lot at the canteen,
because her single mother can't afford to feed them at home.

She don't eat much,
you would too if you were called 'fat' everyday.

He's late to class everyday,
he work all night so he could help his poverty ridden family.

He always look sleepy,
he needs to look after her bedridden brother every night.

She don't trust anymore,
because everyone she loved, betrayed her.

He smokes,
his parents divorced, and he was neglected.


"Don't judge people for the choices they make when you don't know the option they had to choose from. There are reasons they do what they do... there are reasons they are who they are."

Sunday, 16 June 2013

Milik

Satu petang, gua sedang minum-minum dengan kawan gua dekat restoran mamak. Dia soal gua, "Aku tengok kau dari dulu lagi sorang-sorang, kau takde rasa nak kapel ke?"

Gua terdiam. 
Terpukul.

Gua pandang dia balik. Dia pulak pandang juga. Jadi kami saling pandang memandang. Ye, gua akui yang teman gua ni ada rupa. Tak hairanlah ramai manusia-manusia kat luar sana nak diperhatikan oleh teman gua. Dan gua? Gua takdelah buruk sangat. Cuma rupa gua ni kalau ditimbang kati, bolehlah dapat 4.5 out of 10 markah. Hahahah. Oklah tu.

Bagi gua bercinta dan dicintai ni macam satu communication. A two way work between two people who share the idea of 'give and take'.  Gua dapat kau pun dapat. Dapat apa? Faedah. Ya, win-win situation.

Sesetengah pasangan ada benda ni dalam perhubungan diorang. Sesetengah lagi mungkin 'pernah' ada suatu masa dahulu; dan benda ni dengan sendirinya beransur-ansur hilang ditelan usia. Sesetengah lagi mungkin tak pernah ada dulu, tapi makin lama makin subur perasaan tu.

Bagi gua, gua nak cari cinta yang gua takkan pernah puas. Yang gua takkan tinggalkan atau terfikir untuk tinggalkan. Gua nak sesuatu yang abadi. Woii, mana ada benda yang kekal woii. Gua tahu. Tapi gua nak sekurang-kurangnya walaupun kami saling tak menginginkan di akhirnya, kami tak menzahirkan benda tu dengan cara yang keras, seboleh-bolehnya. Gua tak mahu tipu diri sendiri mahupun orang yang gua sayang, pernah sayang dan akan sayang.

Gua pandang dia lagi. Kemudian gua gelak. 
"Hahaha... kata aku. Kau pun sama."

Ya, kami berkongi 'definisi' memiliki dan dimiliki.

Dan kami terus gelak sampai satu restoran pandang.
Ingat gua kisah?


Wednesday, 12 June 2013

School Nowadays.

What does school really teaches children?

- Truths come from authority.
- Intelligence is the ability to remember and repeat.
- Accurate memory and repetition are rewarded.
- Non-compliance is punished.
- Conform: Intellectually and Socially.

Tuesday, 4 June 2013

Sempurna

Kau memang tak pernah puas hati dengan aku.

Semua yang aku buat, 
tak pernah betul dengan kehendak kau.
Semua yang aku cakap, 
tak pernah kena dengan hati kau.

Kau ingat aku ni apa? Robot?

Mari sini,
aku ingatkan kau sekali lagi,
aku ni manusia.

Dan lumrah manusia, 
takkan pernah sempurna.

Aku minta maaf, 
sebab aku bukan yang terbaik buat kau.

Bagi aku masa. Bagi aku ruang.

Aku akan cuba perbetulkan keadaan,
aku akan cuba perbaiki jalan,
agar terang,
tak lagi kelam.

Dan kalau masih tak memuaskan hati kau,
aku akan cuba undur diri,
agar kau dapat cari pengganti.

Susah menduga hati kau,
bukan aku tak pernah cuba.

Aku harap kau akan bahagia,
walaupun kita tak bersama.

Monday, 3 June 2013

Peristiwa di Suatu Petang

Gan menjengah ke luar. Kosong. Sekosong hatinya ketika itu. Dia beralih pula ke hujung beranda. Masih kosong. Peristiwa di suatu petang masih bermain di mindanya. Satu persatu. Bagai filem lama tanpa suara. Bagai cerita-cerita Charlie Chaplin yang sekali sekala diselang-seli dengan tulisan-tulisan skrip bagi menggantikan suara pelakonnya yang sampai ke habis series Charlie Chaplin, tetap bisu. Namun, Gan tidak mengerti semua itu. Dia kucing. Bukannya boleh membaca, Charlie Chaplin pun dia tak kenal. Namun, jiwa Gan masih kacau. Sekali-sekala dia mengalihkan pandangan melihat ke arah-arah kucing-kucing betina yang lalu lalang di depan rumah tuannya. 

Rona dan Lola, dua ekor kucing betina milik Chah anak Mak Jemah sedang mengumpat di bawah pokok kelapa. Gan mencebik. Dia memang tidak pernah senang kepada Rona dan Lola sejak mereka semua bergelar anak kucing lagi. Walaupun Rona dan Lola tua dua bulan daripadanya, namun tiada sedikit pun rasa hormat di hati Gan untuk kucing betina itu. Dasar betina busybody. Getus hati Gan. Namun jiwa Gan masih juga kacau. Dia cuba mengingati semula kisah petang itu. Dia mampu mengingat segala-galanya dengan jelas walaupun hari-hari dia makan kepala ikan. Dia masih tidak lupa.

*

Gan berjalan-jalan riang ke rumah Esah anak Pak Kali yang hanya selang beberapa bijik rumah dari rumahnya. Hajatnya mahu berjumpa dengan Tomei, kucing betina peliharaan Esah. Dia mahu mengajak Tomei berjalan-jalan di tepi tali air di depan rumahnya. Lepas tu, dia mahu mengajak Tomei melihat anak-anak ikan yang ditangkap oleh Bani beberapa hari lepas. Kalau bernasib baik, akan ada seekor dua ikan yang sudah mati. Bolehlah dia belanja Tomei makan ikan gapi fresh. Romantik bukan?

Namun, tiba-tiba langkah Gan berhenti di depan jalan belok masuk ke rumah Pak Kali. Dia terbau sesuatu. Demak, kucing belaan Tuyoi, abang kepada Chah, ada di sini. Dia menyorok di sebalik pokok kelapa. Dia menghampiri rumah Pak Kali dengan berhati-hati. Segalanya berlaku dengan pantas. 

Selepas beberapa lama dia melihat Demak mengayat Tomei, sesuatu yang paling ditakutkan Gan betul-betul terjadi. Tomei cair dan akhirnya mereka melakukan perlakuan selayaknya apabila jantan dan betina berduaan tanpa muhrim. Dan apa yang lebih mencarik hati Gan adalah erangan ganas Tomei yang jelas puas dengan persembahan Demak. Biru.

Gan frust. Bukan setakat frust menonggeng, tapi otometikeli dia mampu berjalan dengan  dua kaki disebabkan terlalu frust dengan apa yang baru dipertontonkan kepadanya sebentar tadi. Sanggup Tomei menduakan dia. Mana janji Tomei untuk sehidup semati dengannya dulu? Mata Gan berkaca namun masih dapat ditahan. Hati Gan pedih. Dan hatinya tidak pernah merasa sepedih itu sejak ibunya eksiden dilanggar Ford Fiesta milik Ipan, anak Haji Semael, ADUN di kawasan tempat tinggalnya.

Dia bingkas berlalu. Merajuk membawa hati yang luka. Sesekali bibirnya berlagu korus Hati Terluka nyanyian Billy Zulkarnain, sambil kakinya menyepak daun-daun kering yang bertaburan.

"Hati terluka bila ku sedar
kau khianati cinta
jiwa meronta bila ternyata
kau menduakan cinta
sungguhku tak menyangka
begini di akhirnya
kau tinggalkanku hampir terluka..."


*

Gan menggelengkan kepala beberapa kali, namun tidak berjaya. Percubaannya untuk menjadi kucing pertama yang mampu menggeleng kepala gaya manusia gagal sekali lagi. Segagal kisah cintanya dengan Tomei. Sesal dia dengan kejadian semalam. Lagi dia sesal apabila kucing otai yang mencuri buah hatinya itu adalah bapanya sendiri. Ya, Demak adalah bapa Gan. Dan Gan adalah anak Demak yang entah ke berapa. Dan Gan rasa, mungkin Demak pun tidak tahu status Gan adalah anaknya hasil dari perkongsian sepetang bersama Bella, ibu Gan suatu petang dahulu. 

Dan Gan juga sudah tiga hari setengah tidak berjumpa dengan Tomei. Bukan Gan tidak rindu, tapi Gan masih marah. Marah dengan kedua-duanya, Demak dan Tomei.

Sunday, 2 June 2013

Mulut

Bani tengah makan di kantin, dan kebetulan Afif Badri duduk semeja dengan dia. Wajdi Leman datang.

Wajdi Leman : Wei Afif, tadi aku ada jumpa Taqi. 

Afif Badri : So? 

Wajdi Leman : Aku dengar dia ada sebut nama kau.

Afif Badri : Kenapa dia sebut nama aku? 

Wajdi Leman : Ah, sebab tu lah aku cari kau ni. Aku nak tahu. Kau ada buat apa-apa ke?

Afif Badri : Tak de. Aku tak pernah kacau hidup dia.

Wajdi Leman : Habis? Kenapa dia cari kau?  Kau tak takut?

Afif Badri : Takut? Hahaha... setakat Taqi tu, aku tak takut la...

* Selepas waktu rehat *

Cikgu Amin emergency leave. Dan serentak dengan itu, serta-merta kelas bertukar gaya. Macam-macam gaya. Paling obvious, gaya pasar malam. Wajdi Leman ada di meja belakang.

Ifran : Wajdi, kau takde kelas ke sekarang? Aku tengok kau ni rilek semacam je.

Wajdi Leman : Cikgu Mala kursus. Cikgu ganti pulak takde. So, aku rilek je lah.

Taqi Irham : Ada story baru ke nak bagitau aku ni?

Wajdi Leman : Ahh... pasal Afif.

Farhan Hanif : Pasal Afif kami tak nak tahu. Kalau takde benda best, kau boleh belah.

Wajdi Leman : Dengar dulu. Tadi aku jumpa dia dekat kantin masa rehat. Dia cakap badan kau besar, dia tak heran la. Dia tak takut pun dengan kau. Gila berlagak mamat tu. 

Ifran : Betul ke kau ni Wajdi? Apa sebab dia boleh cakap macam tu?

Wajdi Leman : Entah. Ehh... aku masuk kelas aku dulu. Lepas ni kelas Geografi.

Taqi Irham : Kau memang cari gaduh Afif. Kau tunggula.

Ifran : Sabar Taqi. Settle kat bilik.

Bani hanya memerhati dari jauh. Tidak mahu masuk campur.

* Asrama *

Bani ponteng prep petang. Mengantuk. Semua homework telah disettlekan dengan cemerlang di dalam kelas sebelum balik tadi. Ada suara-suara bingit di hujung bangunan asrama. Tidur petang Bani terganggu. Bani keluar cari punca suara.

Taqi Irham : ...kau cabar aku Afif? Kau memang nak mati.

Afif Badri : Aku tak kata apa-apa pun la! 

Ifran : Habis, takkan Wajdi tipu.

Afif Badri : Mana aku tahu? Apa kau dah jaja pasal aku ni Wajdi, sampai...

Dush! Datu tumbukan mengenai tepat ke muka Afif Badri. Adegan tumbuk-menumbuk, sepak-menyepak, tenyeh-menenyeh, siku-menyiku berlanjutan lebih kurang lima belas minit sebelum Cikgu Tamim, ketua warden masuk campur.

Cikgu Tamim : Taqi, Afif! Kenapa kamu dua orang ni?!

Afif Badri : Taqi yang mulakan cikgu.

Taqi Irham : Dia yang mengata dulu. 

Cikgu Tamim : Betul ke Afif?

* Afif hanya diam *

Cikgu Tamim : Kamu dengar dia mengata kamu Taqi?

Rahim Adul : Wajdi yang bagitau kami Taqi kelas tadi.

Cikgu Tamim : Kes bawa mulut. Jaja sana-sini. Kamu semua ikut saya ke bilik warden. Taqi, Afif, Rahim, Ifran dengan Wajdi, kamu sekali. Yang lain pakai baju, beratur di bawah. Berani kamu semua ponteng prep ya?!

Cikgu Tamim dah tertuduh berlalu. Yang lain pula bising-bising, menyalahkan Taqi dan Afif yang bergaduh. "Ahh... tak pasal-pasal aku pun kena!" Teriak mereka.

Bani dan Gan

"Gan, nanti aku balik, kita main lagi tau? Macam biasa," kata Bani kepada Gan, teman sepermainannya sejak baru mengenal dunia. Gan memandang ke arah Bani dengan mata bulatnya yang berwarna coklat itu. Seakan meminta diterangkan setiap patah perkataan Bani.

"A ah Gan, malam ni aku dah nak balik Ipoh. Lusa sekolah dah start. Tapi aku janji, lagi sebulan dua aku baliklah. Kau tunggu aku ye Gan?" Bani seakan-akan mampu menduga maksud pandangan mata Gan. Dan Gan terus membisu. Sesekali wajahnya ditundukkan.

"Ehh, jom gi kat tali air. Tangkap anak-anak ikan. Kau kan suka tangkap anak-anak ikan," Bani bangun dan menuju ke tali air di hadapan rumahnya. Tanah merah dipijak Bani yang berlari-lari anak diikuti oleh Gan di belakangnya. Bani tertawa riang apabila sampai di tali air. Gan masih lagi bisu.

"Wowow... banyak anak-anak ikan ni Gan. Kalau dapat tangkap banyak, syoklah! Aaa... aku pergi ambil botol kat bawah rumah jap, kau tunggu sini. Jangan gi mana-mana." Bani berlari meninggalkan Gan di tali air. Beberapa botol kaca kosong dan sebatang jaring kecil diambil di bawah rumah dan di bawa menuju ke tali air.

"Kau tunggu sini Gan, biar pakar yang buat kerja. Hahaha," Bani menghulurkan jaring kecil itu ke dalam tali air, berharap beberapa ekor anak ikan akan mengena perangkapnya kali ini. Cermat. Tak lama kemudian, jaring kecil itu diangkat. Beberapa ekor anak ikan melompat-lompat cuba melepaskan diri. Bani keriangan. Botol dicapai.

"Ehh, aku lupa nak isi air dalam botol la Gan. Aku letak jaring kat sini, kau tolong tengokkan anak-anak ikan  ni ye?" Jaring diletakkan di atas tanah dan Bani mula mengisi air ke dalam botol-botol kaca itu. Gan patuh dengan arahan Bani. Anak-anak ikan yang terlompat-lompat ditekup dengan tangannya. Mengagalkan usaha mereka untuk kembali bebas di dalam air.

"Aa.. dah. Dah isi dah air. Lepas aku isi anak-anak ikan ni kita terus balik rumah. Aku nak mandi, nak bersiap nak naik bas malam ni. Aku baru packing separuh je tadi," bebel Bani sambil memasukkan anak-anak ikan seekor demi seekor ke dalam botol kaca. Selesai dengan anak-anak ikannya, Bani terus mengajak Gan balik. "Ikan ni kau tolong jagakan untuk aku tau. Satu botol untuk kau, satu botol untuk aku. Nanti aku suruh ibu bagi makan kat ikan-ikan ni."

Malam itu, selesai makan malam candle light dinner bersama Gan, Ibu dan Ayah terus menghantar Bani ke stesen bas di pekan. Sebelum bertolak, Bani mengusap kepala Gan beberapa kali. "Jangan lupa tunggu aku tau, Gan! Macam biasa." Itulah pesanan terakhir Bani kepada Gan yang hanya duduk di tangga rumah, memerhatikan kereta yang membawa Bani keluar dari perkarangan rumah sehingga hilang dari pandangannya, sebelum dia akhirnya memanjat anak-anak tangga naik ke rumah. Masih bisu.

*

Tiga minggu sudah berlalu. Tiga minggu juga Bani telah meninggalkan Gan di rumah, dengan janji Bani akan pulang semula apabila berkesempatan untuk meluangkan masa dengan Gan. 

Malam itu malam minggu. Kelas prep tiada. Dan tidak seperti hari-hari minggu kebiasaannya, Bani memilih untuk menghabiskan masa di bilik asramanya, berbaring di atas katil sambil menghabiskan masa membaca buku-buku Lejen Press yang sempat dicekupnya ketika keluar outing petang tadi. Novel BABI diselak satu-persatu. Bani menelaah setiap baris ayat yang dibacanya, sambil mengambil feel memahami maksud tersurat dan tersirat yang dipersembahkan oleh penulisnya.

"Bani, ada kol dari mak kau." Kamil, rakan sebilik Bani memecahkan kesunyian malam, sekaligus memecahkan imaginasi Bani mengenai situasi yang sedang berlaku kepada Leman si Anak Haram di dalam novel BABI. Bani terus bangkit dari perbaringannya, menuju ke katil Kamil di hadapannya. Kenapa pulak ibu kol ni. Harap-harap ayah dapat bonus lagi. Boleh belanja lebih. Bani berkira-kira di dalam hati. Alangkah bagusnya kalau berita itu betul-betul disampaikan oleh ibu kejap lagi. Pelajar asrama memang selalu pokai, kenyataan. Hehe

"Assalamualaikum ibu," Bani memberi salam. Anak mithali.

"Waalaikumussalam Bani. Bani tengah buat apa sekarang ni?" tenang dan penuh keibuan.

"Bani tak buat apa-apa pun. Tengah baca BABI ni ibu," Bani menjawab acuh tidak acuh. Matanya masih tertacap ke buku BABI di tangannya.

"Ehh.. Bani kata apa ni? Babi? Mana Bani belajar sebut benda haram tu," suara Ibu cemas. Bimbang memikirkan anaknya terjebak dengan pergaulan kurang sihat.

"Ehh.. ehh.. bukan ibu. Novel ni tajuk dia BABI-Bercinta di Balik Api. Novel bagus ni ibu," Bani tersengih-sengih apabila menyedari kesilapannya. Sesal dengan perangai acuh tidak acuhnya sendiri, satu ketukan singgah di kepalanya. Dari dirinya kepada dirinya.

"By the way, kenapa ibu kol Bani ni? Ayah dapat bonus ke bu? Ayah nak masukkan duit untuk Bani lagi eh?" Bani berseloroh, mahu menutup malunya sendiri.

"Banyaklah bonus Bani. Ni ayah yang suruh ibu telefon Bani. Ada benda ibu nak cakap dengan Bani...," kata-kata ibu berhenti setakat itu. Tiba-tiba Bani rasa tak sedap hati. Kenapa ni? Ada benda dah jadi ke? 

"Bani dengar ni tau. Ibu nak cakap kat Bani yang... yang..." tersekat-sekat. Lama sebelum Bani kembali menyampuk, membunuh unsur-unsur awkward dalam perbualan mereka.

"Cakap je la ibu. Ibu ni boleh buat saspen pulak," Bani berseloroh. Membuang jauh-jauh kemungkinan ada berita buruk yang akan disampaikan.

"Bani, Gan dah takde. Gan dah mati. Petang tadi. Dipatuk ular kata ayah. Dekat tali air. Bangkai ular tu pun ada sekali masa ayah jumpa Gan," berita disampaikan perlahan-lahan. Satu-persatu. Takut anaknya akan terkejut menerima berita itu. 

Bani terdiam seketika. Cuba memerah otaknya memproses dan menerima berita itu setenang mungkin. Kemudian kembali bersuara. 

"Ohh...pasal Gan rupanya. Takpelah bu. Bani tak kisah. Semua yang hidup akan mati, kan ibu? Takpe. Bani boleh terima. Dah umur Gan tak panjang, nak buat macam mana. Biarlah," Bani cuba bersuara setenang mungkin. Menafikan perasaannya ketika itu.

"Betul ke ni Bani? Alhamdulillah. Ibu ingat Bani akan sedih bila dapat berita ni. Tu tandanya anak ibu dah besar. Kalau Bani okay, ibu takde masalah. Ayah dah tanam Gan petang tadi. Balik ni Bani bolehlah tengok kubur Gan, ye?" Ibu lega. Lega yang anaknya sudah matang dan mampu menerima berita buruk setenang itu.

"Ye la ibu. Ehh... Bani baru ingat Bani ada kerja nak siapkan. Kena hantar esok dekat pondok pengawal," Bani memberi alasan. Perbualan itu harus ditamatkan sekarang juga. Ada benda yang harus dibuat.

"Yelah Bani. Buat kerja elok-elok tau. Jangan tidur lewat. Assalamualaikum." 

"Waalaikumussalam," butang merah terus ditekan menamatkan perbualan Bani dengan ibunya malam itu. Bani mencampakkan telefon kepada Kamil dan terus menuju ke katilnya.

"Woii, leklok sikit. Mahal tau menatang ni," Kamil mencebik. Sedikit hairan dengan perlakuan Bani. Bani tidak pernah sekejam itu. Biasanya dia berlemah lembut. Apatah lagi harta benda orang lain. Ni, ucap terima kasih pun tak.

Bani mencampakkan novel BABI ke atas meja study di tepi katil, teguran dari Kamil tidak dipedulikan. Dia kembali berbaring di atas katil. Sekejap terlentang, sekejap mengiring. Akhirnya dia meniarap. Bantal dicapai. Mukanya ditekup dengan bantal sedalam mungkin. Meminimumkan bunyi esakan Bani.

Babi kau Gan. Kau dah janji nak tunggu aku. Babi. Gan, kau memang celaka. Kenapa kau main ular tu, bodoh! Dasar kucing bodoh. Kau memang bodoh Gan. Celaka!

Kakaka

Bahagia

Hari ni, dah nak masuk tiga minggu aku bercuti di rumah. Bercuti dari segala penat lelah. Bercuti dari mengejar deadline lecturers. Bercuti dari kesibukan warga kota. Bercuti dari masalah-masalah kedewasaan.  Dari terus berfikir, terus-menerus mencuba untuk memuaskan hati manusia-manusia di luar sana. Dari terus makan hati dengan perangai manusia yang sememangnya tidak akan pernah puas.

Lebih kurang dalam dua bulan setengah lagi aku akan kembali memijakkan kaki aku di sana. Ke kotaraya yang tidak akan pernah letih untuk meletihkan manusia. Kotaraya, syurga kekayaan bagi penduduk kotanya, tapi jauh sekali sebagai syurga kebahagiaan bagi yang terus-menerus merintih terluka. 

Ahh! Aku peduli apa. Yang aku tahu, aku akan terus berbahagia. Selagi termampu. Selagi terdaya. Selagi aku berkesempatan. 


Ungkit

Kau memang suka ungkit kan?
kau memang suka malukan orang lain dengan bakti kau yang tak seberapa kan?
kau memang suka orang angkat kau tinggi-tinggi kan?
kau memang suka diri kau dipandang mulia lebih dari manusia lain kan?

Apa kau rasa bila kau berbakti?

apa kau rasa bila kau memberi?
apa kau rasa bila kau dijadikan tempat,
kawan-kawan minta pertolongan?

Kau rasa puas kan?

kau rasa hebat kan?
kau rasa kau sempurna kan?
kau rasa hidup kau hebat,
dengan bakti-bakti yang kau buat kan?

Kau pernah tak rasa ikhlas?

kau pernah tak rasa rendah diri?
kau pernah tak rasa kau sepatutnya bersyukur,
bila kau lebih bernasib baik?

Aku tak rasa yang kau pernah rasa,

kesusahan manusia lain.
sebab kau sentiasa di atas,
kau tak pernah duduk di bawah,

Kau tak pernah rasa macamana,

bila maruah kau dipijak-pijak,
ditenyeh-tenyeh,
diludah; dan kemudian
disepak, jauh.

Kau tak pernah rasa macamana,

bila kau terpaksa tempek muka kau dengan simen,
setebal 4, 5 inci,
untuk minta pertolongan,
sebab kau tak mampu.

Sebelum terlambat,

aku harap kau sedar cepat,
agar nanti kau sempat bertaubat,
sebelum semuanya menjadi kelat,
untuk kau telan hakikat.

Manusia takkan selamanya diatas.

Macam roda, hidup juga ada pusingannya,
Sekejap kau megah di atas,
sekejap kau tenggelam di bawah.