Monday, 3 June 2013

Peristiwa di Suatu Petang

Gan menjengah ke luar. Kosong. Sekosong hatinya ketika itu. Dia beralih pula ke hujung beranda. Masih kosong. Peristiwa di suatu petang masih bermain di mindanya. Satu persatu. Bagai filem lama tanpa suara. Bagai cerita-cerita Charlie Chaplin yang sekali sekala diselang-seli dengan tulisan-tulisan skrip bagi menggantikan suara pelakonnya yang sampai ke habis series Charlie Chaplin, tetap bisu. Namun, Gan tidak mengerti semua itu. Dia kucing. Bukannya boleh membaca, Charlie Chaplin pun dia tak kenal. Namun, jiwa Gan masih kacau. Sekali-sekala dia mengalihkan pandangan melihat ke arah-arah kucing-kucing betina yang lalu lalang di depan rumah tuannya. 

Rona dan Lola, dua ekor kucing betina milik Chah anak Mak Jemah sedang mengumpat di bawah pokok kelapa. Gan mencebik. Dia memang tidak pernah senang kepada Rona dan Lola sejak mereka semua bergelar anak kucing lagi. Walaupun Rona dan Lola tua dua bulan daripadanya, namun tiada sedikit pun rasa hormat di hati Gan untuk kucing betina itu. Dasar betina busybody. Getus hati Gan. Namun jiwa Gan masih juga kacau. Dia cuba mengingati semula kisah petang itu. Dia mampu mengingat segala-galanya dengan jelas walaupun hari-hari dia makan kepala ikan. Dia masih tidak lupa.

*

Gan berjalan-jalan riang ke rumah Esah anak Pak Kali yang hanya selang beberapa bijik rumah dari rumahnya. Hajatnya mahu berjumpa dengan Tomei, kucing betina peliharaan Esah. Dia mahu mengajak Tomei berjalan-jalan di tepi tali air di depan rumahnya. Lepas tu, dia mahu mengajak Tomei melihat anak-anak ikan yang ditangkap oleh Bani beberapa hari lepas. Kalau bernasib baik, akan ada seekor dua ikan yang sudah mati. Bolehlah dia belanja Tomei makan ikan gapi fresh. Romantik bukan?

Namun, tiba-tiba langkah Gan berhenti di depan jalan belok masuk ke rumah Pak Kali. Dia terbau sesuatu. Demak, kucing belaan Tuyoi, abang kepada Chah, ada di sini. Dia menyorok di sebalik pokok kelapa. Dia menghampiri rumah Pak Kali dengan berhati-hati. Segalanya berlaku dengan pantas. 

Selepas beberapa lama dia melihat Demak mengayat Tomei, sesuatu yang paling ditakutkan Gan betul-betul terjadi. Tomei cair dan akhirnya mereka melakukan perlakuan selayaknya apabila jantan dan betina berduaan tanpa muhrim. Dan apa yang lebih mencarik hati Gan adalah erangan ganas Tomei yang jelas puas dengan persembahan Demak. Biru.

Gan frust. Bukan setakat frust menonggeng, tapi otometikeli dia mampu berjalan dengan  dua kaki disebabkan terlalu frust dengan apa yang baru dipertontonkan kepadanya sebentar tadi. Sanggup Tomei menduakan dia. Mana janji Tomei untuk sehidup semati dengannya dulu? Mata Gan berkaca namun masih dapat ditahan. Hati Gan pedih. Dan hatinya tidak pernah merasa sepedih itu sejak ibunya eksiden dilanggar Ford Fiesta milik Ipan, anak Haji Semael, ADUN di kawasan tempat tinggalnya.

Dia bingkas berlalu. Merajuk membawa hati yang luka. Sesekali bibirnya berlagu korus Hati Terluka nyanyian Billy Zulkarnain, sambil kakinya menyepak daun-daun kering yang bertaburan.

"Hati terluka bila ku sedar
kau khianati cinta
jiwa meronta bila ternyata
kau menduakan cinta
sungguhku tak menyangka
begini di akhirnya
kau tinggalkanku hampir terluka..."


*

Gan menggelengkan kepala beberapa kali, namun tidak berjaya. Percubaannya untuk menjadi kucing pertama yang mampu menggeleng kepala gaya manusia gagal sekali lagi. Segagal kisah cintanya dengan Tomei. Sesal dia dengan kejadian semalam. Lagi dia sesal apabila kucing otai yang mencuri buah hatinya itu adalah bapanya sendiri. Ya, Demak adalah bapa Gan. Dan Gan adalah anak Demak yang entah ke berapa. Dan Gan rasa, mungkin Demak pun tidak tahu status Gan adalah anaknya hasil dari perkongsian sepetang bersama Bella, ibu Gan suatu petang dahulu. 

Dan Gan juga sudah tiga hari setengah tidak berjumpa dengan Tomei. Bukan Gan tidak rindu, tapi Gan masih marah. Marah dengan kedua-duanya, Demak dan Tomei.

No comments:

Post a Comment