Thursday, 20 June 2013

Jasa Kudin

Kudin. Nama penuh dia Takiuddin bin Aripin. Nama tipikal Melayu. Dan Kudin, dilahirkan sebagai seorang tipikal Melayu, menjalani kehidupan seorang Melayu yang langsung tiada beza daripada anak-anak Melayu yang dibesarkan di kampung. Masih tipikal. Kudin anak sulung daripada 4 beradik. Sebagai anak lelaki sulung, dia dihumban seribu satu masalah keluarga di atas bahunya untuk dipikul walaupun kudrat Kudin tidaklah seberapa selepas pemergian ayah tercinta beberapa tahun lalu. 

Dan selaku anak sulung lelaki dalam keluarga, Kudin membantu ibu membesarkan adik-adiknya. Kudin berhenti sekolah sewaktu di Tingkatan 3 selepas ayah meninggal. Dia mengambil alih tempat ayah sebagai ketua keluarga dan melakukan berbagai-bagai kerja untuk mencari sesuap nasi untuk keluarga. Sebagai ketua keluarga, Kudin bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga. Kudin abang dan anak yang baik. Dia melayan setiap kerenah adik-adiknya dengan cara yang paling lemah lembut.

Suatu hari, emak jatuh sakit dan tidak lagi mampu berjaga malam untuk menyediakan kuih muih untuk dihantar ke kedai Pak Abu. Kudin terpaksa membuat banyak kerja dalam sehari untuk menampung harga ubat-ubatan emak. Kudin semakin sibuk. Jarang-jarang dia berada di rumah, makan pun kalau-kalau berkesempatan. Tetapi keadaan tidak bertambah baik. Adik-adik Kudin memerlukan duit untuk membeli kelengkapan sekolah. Tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula.

Akhirnya, Kudin terpaksa memecahkan tabung ayamnya. Duit yang dikumpul setelah sekian lama terpaksa digunakan untuk menampung perbelanjaan sekolah adik-adik. Segala kelengkapan dibeli ala kadar. Mana yang masih boleh pakai, dipakai semula. Segala-galanya Kudin buat dengan kudratnya sendiri.

*Dua puluh tahun kemudian*

Kudin kini bergelar orang kaya. Dia mempunyai kedai runcit sendiri, mampu berkereta jenama negara dan berumah batu. Dia sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak. Kedua-duanya dibesarkan dengan cara kampung tetapi tidak sesusah hidup Kudin dulu.

Emak dihantar ke pakar-pakar perubatan dan kesihatan emak makin baik. Adik-adik pula semuanya berkelulusan IPT terkemuka negara. Kudin bangga. Dia berdoa dan berterima kasih kepada Tuhan. 

Hari itu hari raya, dan semua ahli keluarga berkumpul di rumah Kudin. Ada yang sudah berkeluarga, ada yang awek datang beraya. Mereka berterima kasih kepada Kudin kerana jasanya. 


*

Faris mengeluh. Cerita macam karangan budak UPSR. Dalam hatinya mengutuk drama 'Jasa Kudin' yang disiarkan pada slot Cerekarama. Dia menutup TV dan mencapai kunci motor. Perlahan-lahan pintu rumah ditutup. Enjin motor dihidupkan, dan selepas dia memastikan line clear, dia memecut ke kedai kopi Pak Usin.


No comments:

Post a Comment