"Gan, nanti aku balik, kita main lagi tau? Macam biasa," kata Bani kepada Gan, teman sepermainannya sejak baru mengenal dunia. Gan memandang ke arah Bani dengan mata bulatnya yang berwarna coklat itu. Seakan meminta diterangkan setiap patah perkataan Bani.
"A ah Gan, malam ni aku dah nak balik Ipoh. Lusa sekolah dah start. Tapi aku janji, lagi sebulan dua aku baliklah. Kau tunggu aku ye Gan?" Bani seakan-akan mampu menduga maksud pandangan mata Gan. Dan Gan terus membisu. Sesekali wajahnya ditundukkan.
"Ehh, jom gi kat tali air. Tangkap anak-anak ikan. Kau kan suka tangkap anak-anak ikan," Bani bangun dan menuju ke tali air di hadapan rumahnya. Tanah merah dipijak Bani yang berlari-lari anak diikuti oleh Gan di belakangnya. Bani tertawa riang apabila sampai di tali air. Gan masih lagi bisu.
"Wowow... banyak anak-anak ikan ni Gan. Kalau dapat tangkap banyak, syoklah! Aaa... aku pergi ambil botol kat bawah rumah jap, kau tunggu sini. Jangan gi mana-mana." Bani berlari meninggalkan Gan di tali air. Beberapa botol kaca kosong dan sebatang jaring kecil diambil di bawah rumah dan di bawa menuju ke tali air.
"Kau tunggu sini Gan, biar pakar yang buat kerja. Hahaha," Bani menghulurkan jaring kecil itu ke dalam tali air, berharap beberapa ekor anak ikan akan mengena perangkapnya kali ini. Cermat. Tak lama kemudian, jaring kecil itu diangkat. Beberapa ekor anak ikan melompat-lompat cuba melepaskan diri. Bani keriangan. Botol dicapai.
"Ehh, aku lupa nak isi air dalam botol la Gan. Aku letak jaring kat sini, kau tolong tengokkan anak-anak ikan ni ye?" Jaring diletakkan di atas tanah dan Bani mula mengisi air ke dalam botol-botol kaca itu. Gan patuh dengan arahan Bani. Anak-anak ikan yang terlompat-lompat ditekup dengan tangannya. Mengagalkan usaha mereka untuk kembali bebas di dalam air.
"Aa.. dah. Dah isi dah air. Lepas aku isi anak-anak ikan ni kita terus balik rumah. Aku nak mandi, nak bersiap nak naik bas malam ni. Aku baru packing separuh je tadi," bebel Bani sambil memasukkan anak-anak ikan seekor demi seekor ke dalam botol kaca. Selesai dengan anak-anak ikannya, Bani terus mengajak Gan balik. "Ikan ni kau tolong jagakan untuk aku tau. Satu botol untuk kau, satu botol untuk aku. Nanti aku suruh ibu bagi makan kat ikan-ikan ni."
Malam itu, selesai makan malam candle light dinner bersama Gan, Ibu dan Ayah terus menghantar Bani ke stesen bas di pekan. Sebelum bertolak, Bani mengusap kepala Gan beberapa kali. "Jangan lupa tunggu aku tau, Gan! Macam biasa." Itulah pesanan terakhir Bani kepada Gan yang hanya duduk di tangga rumah, memerhatikan kereta yang membawa Bani keluar dari perkarangan rumah sehingga hilang dari pandangannya, sebelum dia akhirnya memanjat anak-anak tangga naik ke rumah. Masih bisu.
*
Tiga minggu sudah berlalu. Tiga minggu juga Bani telah meninggalkan Gan di rumah, dengan janji Bani akan pulang semula apabila berkesempatan untuk meluangkan masa dengan Gan.
Malam itu malam minggu. Kelas prep tiada. Dan tidak seperti hari-hari minggu kebiasaannya, Bani memilih untuk menghabiskan masa di bilik asramanya, berbaring di atas katil sambil menghabiskan masa membaca buku-buku Lejen Press yang sempat dicekupnya ketika keluar outing petang tadi. Novel BABI diselak satu-persatu. Bani menelaah setiap baris ayat yang dibacanya, sambil mengambil feel memahami maksud tersurat dan tersirat yang dipersembahkan oleh penulisnya.
"Bani, ada kol dari mak kau." Kamil, rakan sebilik Bani memecahkan kesunyian malam, sekaligus memecahkan imaginasi Bani mengenai situasi yang sedang berlaku kepada Leman si Anak Haram di dalam novel BABI. Bani terus bangkit dari perbaringannya, menuju ke katil Kamil di hadapannya. Kenapa pulak ibu kol ni. Harap-harap ayah dapat bonus lagi. Boleh belanja lebih. Bani berkira-kira di dalam hati. Alangkah bagusnya kalau berita itu betul-betul disampaikan oleh ibu kejap lagi. Pelajar asrama memang selalu pokai, kenyataan. Hehe
"Assalamualaikum ibu," Bani memberi salam. Anak mithali.
"Waalaikumussalam Bani. Bani tengah buat apa sekarang ni?" tenang dan penuh keibuan.
"Bani tak buat apa-apa pun. Tengah baca BABI ni ibu," Bani menjawab acuh tidak acuh. Matanya masih tertacap ke buku BABI di tangannya.
"Ehh.. Bani kata apa ni? Babi? Mana Bani belajar sebut benda haram tu," suara Ibu cemas. Bimbang memikirkan anaknya terjebak dengan pergaulan kurang sihat.
"Ehh.. ehh.. bukan ibu. Novel ni tajuk dia BABI-Bercinta di Balik Api. Novel bagus ni ibu," Bani tersengih-sengih apabila menyedari kesilapannya. Sesal dengan perangai acuh tidak acuhnya sendiri, satu ketukan singgah di kepalanya. Dari dirinya kepada dirinya.
"By the way, kenapa ibu kol Bani ni? Ayah dapat bonus ke bu? Ayah nak masukkan duit untuk Bani lagi eh?" Bani berseloroh, mahu menutup malunya sendiri.
"Banyaklah bonus Bani. Ni ayah yang suruh ibu telefon Bani. Ada benda ibu nak cakap dengan Bani...," kata-kata ibu berhenti setakat itu. Tiba-tiba Bani rasa tak sedap hati. Kenapa ni? Ada benda dah jadi ke?
"Bani dengar ni tau. Ibu nak cakap kat Bani yang... yang..." tersekat-sekat. Lama sebelum Bani kembali menyampuk, membunuh unsur-unsur awkward dalam perbualan mereka.
"Cakap je la ibu. Ibu ni boleh buat saspen pulak," Bani berseloroh. Membuang jauh-jauh kemungkinan ada berita buruk yang akan disampaikan.
"Bani, Gan dah takde. Gan dah mati. Petang tadi. Dipatuk ular kata ayah. Dekat tali air. Bangkai ular tu pun ada sekali masa ayah jumpa Gan," berita disampaikan perlahan-lahan. Satu-persatu. Takut anaknya akan terkejut menerima berita itu.
Bani terdiam seketika. Cuba memerah otaknya memproses dan menerima berita itu setenang mungkin. Kemudian kembali bersuara.
"Ohh...pasal Gan rupanya. Takpelah bu. Bani tak kisah. Semua yang hidup akan mati, kan ibu? Takpe. Bani boleh terima. Dah umur Gan tak panjang, nak buat macam mana. Biarlah," Bani cuba bersuara setenang mungkin. Menafikan perasaannya ketika itu.
"Betul ke ni Bani? Alhamdulillah. Ibu ingat Bani akan sedih bila dapat berita ni. Tu tandanya anak ibu dah besar. Kalau Bani okay, ibu takde masalah. Ayah dah tanam Gan petang tadi. Balik ni Bani bolehlah tengok kubur Gan, ye?" Ibu lega. Lega yang anaknya sudah matang dan mampu menerima berita buruk setenang itu.
"Ye la ibu. Ehh... Bani baru ingat Bani ada kerja nak siapkan. Kena hantar esok dekat pondok pengawal," Bani memberi alasan. Perbualan itu harus ditamatkan sekarang juga. Ada benda yang harus dibuat.
"Yelah Bani. Buat kerja elok-elok tau. Jangan tidur lewat. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam," butang merah terus ditekan menamatkan perbualan Bani dengan ibunya malam itu. Bani mencampakkan telefon kepada Kamil dan terus menuju ke katilnya.
"Woii, leklok sikit. Mahal tau menatang ni," Kamil mencebik. Sedikit hairan dengan perlakuan Bani. Bani tidak pernah sekejam itu. Biasanya dia berlemah lembut. Apatah lagi harta benda orang lain. Ni, ucap terima kasih pun tak.
Bani mencampakkan novel BABI ke atas meja study di tepi katil, teguran dari Kamil tidak dipedulikan. Dia kembali berbaring di atas katil. Sekejap terlentang, sekejap mengiring. Akhirnya dia meniarap. Bantal dicapai. Mukanya ditekup dengan bantal sedalam mungkin. Meminimumkan bunyi esakan Bani.
Babi kau Gan. Kau dah janji nak tunggu aku. Babi. Gan, kau memang celaka. Kenapa kau main ular tu, bodoh! Dasar kucing bodoh. Kau memang bodoh Gan. Celaka!
Kakaka
No comments:
Post a Comment